Buruan Orang British Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh

Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Tentera” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.

Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris.

Pada Mei 1892, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.

Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.

Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.

Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1895 apabila Datuk Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1896, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu.

Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun (1891-1894) telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.